Tuesday, 30 October 2012

Cerpen| Jantung Berlari 240km/j


‘Khas untuk Cik Hanis’

Lama Hanis menatap skrin laptopnya. Sungguh ke ni? Matanya berkelip dua tiga kali. Sungguh jantungnya sudah berlari 240km/j gara-gara lelaki itu. Separuh hatinya ingin melonjak senang, dan separuh lagi berkata jangan terbang tinggi sangat takut jatuh sakit. Peringatan yang selalu diberikan oleh sahabat baiknya. Hati perempuan dilayan lebih sikit mulalah terbang hingga ke awan biru, bila tahu diri sendiri yang terlebih perasan terus hati merudum jatuh ke tanah. Sakitnya!

Sungguh hatinya menyukai lelaki itu. Anas. Nama itu entah sejak bila mengambil tempat di carta hatinya. Siapa sangka, hanya dengan berbalas komen di blog lelaki itu, akhirnya membuahkan rasa cinta, suka atau satu kebiasaan? Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menamakan perasaan yang sudah berputik buat lelaki itu. Tapi dia takut layanan lelaki itu terhadapnya hanya atas dasar menghormati pembaca setia di blognya. Cuma dia yang terlebih melayani perasaan halus itu. Mungkin juga lelaki itu melayani kerenahnya hanya sekadar menjaga hati.

“Hanis, kata tak nak terbang. Tapi ini kau bukan terbang tapi dah naik Soyuz sampai ke ISS. Tinggi tu Hanis.” Hanis berkata kepada dirinya sendiri.

Tangannya laju menekan link yang diberikan Anas. Senyuman yang terukir dibibirnya sudah tergantung hingga ke telinga. Bahagia. Hanya itu yang dia rasa saat ini. Oh! Rupanya Anas ada letak impiannya untuk jangka masa 5 tahun akan datang. Hmm travel around the world. Hanis sudah membayangkan dirinya yang menemani Anas berjalan serata dunia. Pasti Anas akan letakkan gambar percutian mereka bersama di blog miliknya. Tapi itu hanya angan-angannya. Hanis mengalihkan matanya kepada chat box di facebook. Anas. Apa yang ditulisnya? Dengan lafaz bismillah dia membuka chat box antara dia dan Anas.

‘Best kan kalau dapat travel dengan isteri. Buat aktiviti yang adventure.’

Hanis menelan air liurnya. Gulp! ISTERI? Kenapa dia mesti cakap benda ni dekat aku? Ini hint yang dia nak kawin dengan aku ke apa? Atau dia saja nak berkongsi dengan aku kenapa dia tulis pasal travel dekat blog dia? Arghh serabutnya! Banyak persoalan yang bermain di fikirannya. Anas, janganlah buat perasaan aku macam ni. Hati aku digantung tak bertali. Kalau suka cakap suka, kalau tak cakap tak. Jangan letak aku dekat tengah-tengah. Ke kiri salah nak ke kanan pun salah. Serba serbi tak kena dibuatnya! Hmm nak balas apa ni?

Yup. Nak buat apa pun semua halal kan?’ Hanis memberi jawapan selamat.

Hanis merenung skrin laptopnya lama. Lama betul mamat ni fikir! Aku balas macam tu tak kan dah tak tahu nak balas apa kot. Tak kan nak aku balas ‘isteri? Awak nak kawin dengan saya ke?’. Aku balas macam tu nanti mahu tak dicopnya aku ni Manusia Paling Perasan Di Abad Ini. Oh tidakkk tak kan aku biarkan benda tu terjadi. Jawapan selamat ala artis lebih baik dari jawapan jujur dari hati.

‘Aah. Nanti awak tengok lah tempat yang saya tulis tu.’

Hanis terdiam. Kalau tengok je bukan dapat apa. Lain lah kalau aku suka tempat tu then dia nak bawak aku sekali. Kalau setakat tengok, lepas tu dia pergi dengan perempuan lain tak ke meroyan aku dekat sini?

‘Ok. Tapi pantai pun best.’ Sengaja Hanis ingin memancing perhatian dari Anas. Dia ingat lagi tak aku cakap aku tak pernah pergi pantai?

‘Untuk first timer, elok pergi dalam Malaysia dulu.’ Nah! Anas masih ingat. Senyum.

Orang kata, kalau seseorang tu ingat apa yang kita cakap dekat dia maknanya dia suka kita. Apa yang kita cakap dia ambil perhatian. Apa yang jadi dekat kita, dia mesti nak ambil tahu. Ish kau jangan cepat sangat excited Hanis! Cool! Cool! Jangan gelojoh macam orang kegersangan kasih sayang. Dia tidak terus membalas. Tidak tahu apa yang harus dibalas dan takut jika hanya dia yang bermain dengan perasaan halus itu.

****
Hanis merenung wajah sahabat baiknya bersilih ganti. Dia sudah meluahkan segalanya kepada kawan yang selalu menjadi pendengar setianya, Najihah. Dari A-Z. Memang tidak ada satu huruf pun dia tinggalkan. Berharap sahabatnya itu mampu menyelesaikan masalah hati dan perasaannya.

“Eeee aku geram dengan kau ni tau! Cepat sangat suka orang. Dia layan sikit kau dah mula tak tentu arah.” Najihah sudah mengomel.

Berbuih mulutnya menasihati Hanis. Jangan mudah suka dekat lelaki. Jangan mudah memberi hati kepada lelaki. Yang penting jangan jadi perempuan tak tahu harga diri dan rasa malu. Perempuan itu harusnya bersikap seperti pokok semalu!

“Tapi aku tak boleh control. Kau ingat hati aku ni ada traffic light? Bila lampu merah boleh stop tiba-tiba bila tak nak suka orang tu?” Hanis cuba membela dirinya. Dia tahu memang salah dia tapi benda macam ni bukan boleh on off.

“Habis kau nak buat apa sekarang? Cakap kau suka dia? Macam tu?” Najihah memandang wajah Hanis yang serba tak kena. Seperti ada yang disembunyikan.

“Oh mannnn jangan cakap kau…” Najihah tak mampu meneruskan kata-katanya. Dia tidak sanggup mendengar pengakuan berani mati dari Hanis.

“Aku err aku dah cakap pun.” Perlahan Hanis memberitahu. Takut.

“Hanis!!!!!!! Eeeeee geramnya aku dengan kau!” Najihah sudah menjerit mendengar sahaja pengakuannya. Kemarahan dan rasa geram yang tak boleh dia selindung.

“Lelaki baik dah nak pupus dekat muka bumi. So aku kena lah make a move first!” Selamba Hanis menjawab.

“Tapi kalau nak mulakan dulu pun make sure dia tu betul-betul suka kau. Kalau kau sorang yang SS macam mana?” Najihah menggelengkan kepalanya. Migraine. Migraine.

“Kau tahu kan, aku memang jenis straight to the point dengan orang aku suka. Tak ada filter guna penapis air bagai. Suka atau tak terpulang pada dia. Yang sakitnya aku.” Hanis masih belum mahu mengaku kalau walaupun dia tahu dia melakukan kesilapan besar.

“Kau ingatkan kata-kata Nouman Ali Khan? If someone corrects you, and you feel offended, then you have an EGO problem.” Tajam kata-kata Najihah.

“Bukan ego cuma..” Hanis tidak mampu menghabiskan kata-katanya.

“Aku cakap satu, beribu juta lemon alasan kau bagi. Baik kau tak payah mintak pendapat aku.” Najihah seperti berjauh hati.

“Gee, kau tahu dia cakap apa lepas aku cakap aku suka dia?” Redup mata Hanis seperti ada yang membuatkan dia rasa kecewa dan sedih.

“Apa?” Najihah sudah mula berlembut. Perempuan kalau ada masalah hati dan perasaan jangan tambahkan lagi beban perasaan tu.

“Dia cakap HAHA terima kasih. Kau tahu betapa kecewanya aku? Bukan jawapan itu yang aku nak.” Hanis mengetap bibir menahan air matanya daripada jatuh berguguran.

“Kau nak dia jawab apa? What do you expect if someone suddenly said they love you. Will you said ahhh I love you too. You need to think first before give an answer. Especially benda serius yang melibatkan dua pihak.” Panjang Najihah membalas.

“Aku hargai terima kasih dia tapi at least cakaplah..”

“Cakap apa?”

“Entah. Aku pun tak tahu apa yang hati aku nak sekarang ni.”

“Lepas tu dia cakap apa lagi?”

“Tunggu saya lagi setahun.” Hanis membuang pandang ke arah tingkap. Setahun.

“Setahun? Are you sure he will love you after one year? Tak masuk akal kalau dia nak kau tunggu dia sedangkan dia belum pasti dengan perasaan dia sendiri.”

“Aku tak tahu. Tapi hati aku cakap, Hanis tunggu dia.”

“Ikut suka kaulah Hanis. Kau dah besar, dah boleh fikir mana baik mana buruk.” Najihah malas nak cakap banyak dengan rakannya itu.

****
Hanis memandang lama online friends di facebooknya. Anas. Nak tegur ke tak? Kalau tegur agaknya apa yang jadi? Tapi tak salah kalau dia nak mencuba experiment ENTER. Eksperimen di mana pergi pada nama orang tersebut, tulis, pejam mata, tekan ENTER dan tunggu reaksi orang tersebut. Cuma hati kena kuat.

‘Assalamualaikum.’ Hanis mengambil tindakan berani untuk menegur.

‘Waalaikummussalam.’

‘Saya akan suka awak, walau sebanyak mana perempuan suka awak.’

‘Haha. Banyaklah sangat.’ Nah! Jawapan dari Anas yang merobek tangkai hatinya.

Hanis terdiam. Terus dia offline chat. Meninggalkan lelaki itu tanpa jawapan. Anas. Sikap lelaki itu, perasaan lelaki itu sukar dibaca. Pernah lelaki itu menulis di dinding muka bukunya. Pernah juga lelaki itu menulis namanya di blog miliknya. Kadang-kadang dia merasakan status yang di update lelaki itu seperti merujuk dirinya. Ahh! Perasannya dia. Kalau lah dia superhero dan di pilih untuk mempunyai kuasa apa, dia berharap mempunyai kuasa untuk membaca perasaan lelaki bernama Anas itu.

Berdiri di bawah langit, berharap di saat ini awak melihat bulan yang sama- 2 seconds ago.

Update status baru dari Anas. Saudara Anas apa yang anda maksudkan dengan ayat tersebut? Lama dia merenung status itu. Adakah hati milik Anas Saufi itu sudah di miliki? Lalu dia tujukan status tersebut khas buat seseorang itu? Anas mahu memberi tahu dirinya sudah dimiliki dengan cara itukah? Di saat ini, sisi kiri yang selalu berlari 240km/j apabila Anas muncul, sekarang berasa sakit. Hanis merenung lagi. Nak like atau tak? Poof. 4 likes! Aishah, Hafizz, Nadia and Suria. Hmm Aishah? Gadis itu selalu sahaja like status baru dari Anas. Mungkinkah? Tidak sanggup dia memikirkan kemungkinan yang satu itu. Sisi kiri, bertahanlah!

“Kenapa bila aku dah mula dapat terima kenyataan tu, kau mesti muncul bagi harapan?” Hanis berbisik sendiri.

Sungguh! Bila dia memberitahu dirinya untuk berhenti menyintai lelaki itu, pasti lelaki itu akan muncul tanpa di duga. Setiap kali lelaki itu muncul jugalah, jantungnya akan berlari laju 240km/j. Wahai jantung berhentilah berlari laju, cuba patuh had laju dan jangan main suka hati nak pecut. Jantungnya tidak keruan bila saja Anas muncul atau nama Anas itu dibangkitkan. Dia suka lelaki itu. Serius. Kalau tidak, masakan jantungnya boleh selaju itu. Tak tentu arah.

Tapi dia tidak tahu selama mana dia mampu bertahan. Setahun? Lama. Adakah Anas akan membalas cintanya? Atau mereka masih di takuk lama. Cinta atas angin.

-SETAHUN BERLALU

Hanis masih Hanis yang dulu. Selalu timeline lelaki bernama Anas itu di stalknya. Selalu juga dia membaca blog lelaki itu untuk melepaskan rindu. Cukuplah sekadar dia mengetahui perkembangan lelaki itu. Sungguh dalam jangka masa setahun Anas cukup sibuk! Hanya sekali dua dia dapat menegur lelaki itu di facebook. Tapi hanya satu yang masih dia tidak tahu. Bila lelaki itu mahu memberi jawapan?

Cik Hanis- Anas Saufi posted on your timeline

Dumm! Sisi kiri itu! Pantas sahaja sisi kiri itu berlari 240km/j. Ya! Itu tandanya dia masih menyukai lelaki itu walau setahun telah berlalu. Apa lagi yang kau mahu Anas? Andai hanya sementara kau muncul membuatkan jantung aku berlari laju, aku mohon jangan muncul lagi! Dia tidak tahu apa yang harus dibalas. Lelaki itu masih mahu berteka-teki. Cukuplah selama ini lelaki itu memberi link lagu untuk dia dengar. Sengaja membiarkan dia dibuai perasaan halus itu sendiri. Cukuplah selama ini dia menjaga hatinya buat lelaki itu.

“Hanis, cukup setakat ini. Kau dah kotakan janji kau untuk menanti dia selama setahun. Sekarang sampai masa untuk kau lepaskan dia dari hidup kau.” Hanis sudah membulatkan tekad.

But she wears short skirts, I wear T-shirts
She's Cheer Captain and I'm on the bleachers
Dreaming about the day when you wake up and find
That what you’re looking for has been here the whole time
If you could see that I’m the one who understands you
Been here all along, so why can’t you see?
You, you belong with me, you belong with me- Taylor Swift

Lagu Taylor Swift, You Belong With Me yang digubah Sungha Jung menerjah telinganya. Dia tahu lagu itu menandakan ada mesej masuk ke dalam peti mesejnya. Anas Saufi.



‘Nak pinjam jantung boleh?’


Ya, Allah! Sisi kiri itu. Masih tetap berlari laju 240km/j. Tidak mahu mengikut arahan darinya walau saman kerana melebihi had laju sudah dikeluarkan. Pantas tangan kanannya di bawa memegang sisi kiri itu. Dup! Dap! Dup! Dap! Seperti gendang yang dipukul bertalu-talu. Hanis menarik nafas. Dia senyum tawar.

“Anas Saufi, saya akan berhenti menyintai awak bila jantung saya mampu berlari pada kelajuan 80km/j! Andai ia masih berlari 240km/j itu tandanya saya masih menyukai awak.” Hanis membisikkan kata-kata yang berupa janji itu kepada dirinya. Berharap insan di Selatan sana mampu mendengar kata-katanya yang baru sahaja diluahkan.

****
Anas mendongak ke langit. Kelihatan bulan yang bersinar terang ditemani bintang yang bekerlipan. Senyuman terukir di bibirnya. Handphone sudah dimasukkan kembali ke dalam poketnya. Tangan kanannya di bawa ke arah sisi kiri itu. Sisi kiri itu melagukan irama yang sukar dia tafsirkan.

“Saya harap awak melihat bulan yang sama saat ini.” Selesai menuturkan baris ayat itu, Anas menutup tingkap. Menuju ke arah katil. Semoga Istikharah Cinta itu mampu memberi petunjuk buat dirinya.

Andai gula tahu betapa manisnya cinta, pasti ia tersipu kerana manisnya tidak seberapa- Maulana Jalaluddin Rumi


featured in: Penulisan2u (11 November 2012)



No comments: