Wednesday, 24 October 2012

8| Suamiku Gee


8 oleh: faizah fyn


“Bangun! Bangun! Subuh!” Nyaring suara Encik Ahmad memecah hening pagi. Pintu bilik Airis sengaja diketuk berkali-kali.

Tersentak Airis mendengar suara Abahnya mengalahkan askar pencen. Agaknya apek jiran sebelah rumah mereka pun boleh terjaga dengar suara Abah. Airis menolak selimutnya turun ke kaki. Masih berada di atas katil. Keadaannya yang mamai dan separuh sedar membuatkan dia berbaring sebentar. Sudah mendapat kekuatan dia bangun perlahan-lahan. Senyuman terukir dibibirnya.

“Hmm ini baru rumah. Abah ada pagi rasa lain.” Airis menuturkan ayat itu kepada dirinya sendiri.

Dia mencapai tuala yang elok tersidai di sebelah pintu bilik air. Mahu mandi dan langsung mengambil wudhu’ untuk solat Subuh berjemaah. Airis tak mengambil masa yang lama untuk membersihkan diri. Hari masih pagi membuatkan dia tidak mahu berlama didalam bilik mandi. Selesai sahaja mandi dia terus keluar lalu menyarungkan pakaian ke badan. Telekung dibawa menuju ke bilik yang dijadikan Abahnya sebagai tempat solat mereka sekeluarga.

Kelihatan kakaknya Aimy sudah berada di atas sejadah. Airis menghantar pandangan pelik. Mesti awal pagi lagi bangun mandi wajib. Kalau tak, tak ada awalnya kakaknya dah bersiap.

“Apa?” Aimy bertanya seakan tak berpuas hati.

“Nothing.” Airis tersengih sambil menggelengkan kepalanya.

Aimy hanya senyum senget mendengar jawapan adiknya. Tak percaya lah tu dia bersiap lagi awal dari adiknya yang satu itu.

“Kau basahkan rambut tak?” Aimy sengaja bertanya.

Airis faham benar dengan apa yang ingin disampaikan kakaknya melalui soalan tersebut. Kalau basahkan rambut maknanya lepas Subuh terus turun bawah. Kalau tak, maknanya nak sambung tidur balik lepas solat.

“Basah laa..Abah ada dekat rumah kan.” Aimy mengulum senyuman mendengar jawapan jujur adiknya.

Kalau  Abah ada dekat rumah, memang harapanlah nak dapat tidur balik lepas Subuh. Lagi pun memang tak elok tidur lepas Subuh. Nanti rezeki mahal. Kebiasaannya kalau Abah ada, lepas Subuh mereka terus bersarapan kemudian duduk di ruang tamu sambil menonton DVD. Cuma kalau muncul hari lain macam, Abah paksa mereka semua pergi jogging lepas tu terus picnic.

“Semua dah siap?” Encik Ahmad yang baru sahaja menghabiskan bacaan Al-Quran sementara menunggu anak-anaknya bersiap bertanya.

Serentak Airis dan Aimy mengangguk. Puan Sofia yang selesai mengaji turut menganggukkan kepala. Encik Ahmad senyum. Usai solat Subuh, Encik Ahmad memberi tazkirah ringkas tentang  wanita dan pohon semalu. Kisah melalui perbualan Rasullah S.A.W dan puteri baginda Saidatina Fatimah.

“Suatu hari Rasulullah S.A.W dan Saidatina Fatimah berjalan bersama sehinggalah mereka berdua tiba di bawah sebatang pohon tamar. Saidatina Fatimah mengaduh kesakitan apabila kakinya terpijak pohon semalu dan kakinya berdarah. Cuba teka apa yang dikatakan Saidatina Fatimah saat itu?” Encik Ahmad bertanya kepada isteri dan anak-anaknya.

Airis memandang kakaknya. Kakaknya menjongketkan bahu tanda tidak tahu. Ini kali pertama dia mendengar cerita tersebut.

“Hmm, Saidatina Fatimah marah dan berkata apalah guna pohon semalu tersebut berada disitu. Kemudian Rasulullah S.A.W berkata kepada puterinya bahawa pohon semalu itu sebenarnya berkait rapat dengan perempuan.” Encik Ahmad menyambung ceritanya apabila tiada yang tahu apa yang dikatakan Saidatina Fatimah.

“Berkait rapat dengan perempuan? Pemalu?” Airis meneka.

Encik Ahmad mengangguk tanda mengiakan telahan Airis. Kemudian dia menyambung kembali kata-katanya yang terhenti.

“Betul tu Adib. Pohon semalu bila kita sentuh ia akan menguncup betul tak? Sama macam perempuan yang mana perlu ada rasa malu bergantung pada tempat atau keadaan. Pohon semalu juga ada duri tajam untuk mempertahankan dirinya jadi sebagai perempuan mesti mempertahankan maruah dirinya sebagai seorang muslim.” Encik Ahmad berhenti sebentar. Memberi ruang Aimy dan Airis serta isterinya memahami apa yang ingin disampaikan.

“Lagi satu, pohon semalu ni ada akar tunjang yang sangat kuat. Maknanya? Perempuan yang solehah mesti ada ikatan yang kuat dengan Allah Rabbul Alamin. Akhir sekali bila waktu senja, sedar atau tidak pohon semalu dengan sendirinya akan menguncup.” Encik Ahmad memandang Aimy yang seakan mahu bertanya sesuatu.

“Aimy?”

“Urmm apa kaitan pokok semalu tu menguncup sendiri dengan perempuan?” Aimy menggaru kepalanya yang tidak gatal. Mencari kaitan kata-kata Abahnya dengan perempuan.

“Aimy..”Puan Sofia menyentuh lembut bahu Aimy. Dia mengerling kepada Encik Ahmad sebelum meneruskan kata-katanya.

“Sebagai perempuan, kena balik ke rumah bila waktu semakin senja. Sama macam pohon semalu tahu bila waktunya untuk menguncup.” Encik Ahmad senyum sambil menganggukkan kepalanya mendengar penjelasan isterinya.

“Apa yang Abah nak sampaikan, jadilah seorang wanita muslim yang sama sikapnya seperti pohon semalu.”
Aimy dan Airis terdiam. Cuba menyerap segala yang disampaikan Abah mereka kedalam fikiran. Encik Ahmad kemudian bersuara memecah kesunyian.

“Aimy, Adib..Abah tak marah anak-anak Abah keluar tapi kena tahu menjaga diri dan ingat jangan balik rumah lewat sangat. Memang Abah jarang ada dirumah tapi ingat, Mama masih kamu kena hormat.”

“Adib pun semalam, balik nak dekat senja kan? Waktu senja syaitan berkeliaran.Aimy pun kalau boleh tidur jangan melampau sangat terutama waktu nak masuk senja. Tak elok.” Encik Ahmad memandang penuh kasih wajah anak-anaknya bersilih ganti.

“Adib minta maaf Abah, Mama.” Terus tangan Abah dan Mamanya dicapai.

“Aimy pun. Aimy selalu takutkan Abah lebih daripada Mama sedangkan Mama pun wajib Aimy patuh dan dengar kata. Aimy minta maaf.”

Puan Sofia memeluk kedua-dua anak perempuannya. Dia sedar yang anak-anaknya lebih takutkan suaminya walaupun suaminya jarang dirumah.

“Abah dan Mama sentiasa maafkan Aimy dengan Airis.” Puan Sofia berkata dengan anak-anaknya masih dalam dakapannya.

“Hmm dah. Yang penting Abah nak kamu ingat cerita pokok semalu ni sampai bila-bila.”

“Baik Abah.” Hampir serentak mereka menjawab.

“Eh dah nak pukul 7 pagi ni. Cepat bersiap nak bersarapan.” Encik Ahmad berkata.

“Sarapan dekat luar ke Abah?” Airis bertanya.

“Eh, hari ni Abah nak rasa masakan anak-anak Abah. Pagi ni Abah nak dating dengan Mama. Korang berdua siapkan sarapan.” Encik Ahmad memberi arahan sambil menarik isterinya kedalam dakapan.

“Okayyyy.” Aimy dan Airis memberi tabik hormat. Sayang betul Abah dengan Mama.

****
Ktung ktang ktung ktang didapur membuatkan Puan Sofia sudah dua tiga kali berulang alik dari ruang tamu ke dapur. Entah barang apa yang akan dijahanamkan anak-anak daranya itu. Memang dia tak yakin nak meninggalkan anak-anaknya di dapur tanpa pengawasannya. Silap haribulan fire alarm boleh berbunyi.

“Awak ni Sofia. Cuba duduk diam-diam dekat depan tu. Teman saya lagi baik awak tahu.” Encik Ahmad sudah menarik tangan isterinya untuk keluar dari dapur.

“Tapi anak-anak awak tu.” Wajah Puan Sofia penuh kerisauan.

“Kitorang okey Ma. Mama yang risau sangat. Kitorang happy je duduk dapur ni.” Airis sudah bersuara. Pening melihat supervisor terhormat asyik keluar masuk dapur.

“Haa tengok. Adib pun cakap okey. Awak duduk je dengan saya. Takdenya rumah ni nak meletup setakat diorang memasak.” Encik Ahmad memberi jaminan.

“Hmm yelah. Kamu berdua masak elok-elok. Ada apa-apa panggil Mama. Lagi satu becareful dengan cutting board Joseph Joseph mama baru beli tu.” Sempat Puan Sofia menitipkan pesan.

“Amboi sayang cutting board tu lagi dari safety anak dengan rumah ni.” Sengaja Encik Ahmad mengusik isterinya.

Laju Puan Sofia mengeluarkan sepit ketamnya. Encik Ahmad mengaduh sambil menggosok lengannya. Hmm cari pasal dengan mak ketam lagi! Bukan suaminya tak tahu hobi dia membeli pinggan mangkuk dan segala macam peralatan dapur. Tak jumpa yang disukainya di shopping mall, sanggup dia duduk bertapa depan PC suaminya untuk beli secara online. Kepuasan dalam membeli yang dicarinya.

“Sepit ketam awak tu, berbisa!”

“Siapa suruh perli saya.” Laju Puan Sofia membalas.

“Ma, Abah kot ye nak buat drama sebabak jangan laa dekat sini..Jealous tau!” Aimy mengusik dengan tangannya sengaja mengajuk sepit ketam mamanya kepada Airis.

“Yelah intan payung puteri kesayangan Abah. Kitorang keluar laa ni. Dah siap jangan lupa panggil Abah dengan Mama.” Encik Ahmad berpesan.

“Jangan risau. Tak kan lah kitorang nak melahap berdua. Mesti bagi ketua chef rasa.” Giliran Airis mengusik.

Hilang sahaja bayangan Abah dan Mama mereka, sesi menyepahkan dapur berjalan kembali. Cadang Aimy mahu memasak bihun goreng. Airis mahu membuat cucur ikan bilis. Masing-masing sibuk menyiapkan menu untuk breakfast pagi itu.

“Kau suka pedas ke sedang-sedang Dib?” Aimy meminta pendapat Airis yang sibuk menumbuk ikan bilis menggunakan lesung batu.

“Hah? Haruslah pedasss. Tak melayu namanya kalau sedang-sedang. Sedang-sedang ni mat saleh punya taste je ok!” Airis bercakap dengan tangan sudah tergawang sana-sini.

“Hmm mat saleh? Qaiser?” Tiba-tiba Aimy menyebut nama tersebut.

“Kauuuu urghhh whatever!” Airis sudah berlalu menuju ke pintu menghala belakang dapur.

“Weh! Pergi mana? Merajuk?” Aimy pelik melihat adiknya yang meninggalkan ikan bilis didalam lesung batu terkontang-kanting.

“Cari kucai lah!” Airis sudah bercekak pinggang dengan pisau ditangannya.

“Oooo okay.”

Aimy meneruskan kembali sesi merasa kuah untuk ditumis bagi menggoreng bihunnya. Dah cukup pedas rasanya. Kalau pedas sangat ada jugak yang kena ceri blackberry burbery. Nanti dia jugak yang dipersalahkan. Aimy menoleh ke arah pintu. Bayang Airis masih belum kelihatan. Ambik kucai ke tanam kucai budak ni? Lama betul! Ini kalau aku keluar pergi mamak balik rumah pun sempat agaknya.

“Dibbb lamanya! Kau okey ke tak tu? Nak aku tolong tak?” Aimy sudah melaung dari dalam dapur.

“Apa?” Airis muncul dengan segenggam kucai ditangannya. Terus dia berjalan menuju ke sinki.

“Asal lama sangat?” Aimy memerhati adiknya yang sedang membasuh kucai di bawah deru air paip.

“Ohh aku sembang dengan kucing Uncle Tan.” Selamba Airis membalas.

“Kau sembang? Okay.” Gila ke apa sembang dengan kucing?

“Kenapa? Tak boleh? Dia faham kot aku cakap apa.”

“Eeee kau mengarut! Meroyan cakap dengan kucing. Eh cepatlah siapkan cucur bilis kau tu. Dah pukul berapa ni.” Aimy malas melayan kata-kata Airis yang belum tentu ada betulnya.

Hampir pukul 9am baru sarapan hasil air tangan Aimy dan Airis Berjaya disiapkan. Itu pun setelah dibebel oleh Puan Sofia dan Encik Ahmad yang merungut mereka berdua sudah lapar. Tersusun elok pinggan dan cawan di atas meja. Encik Ahmad memandang anak-anaknya.

“Eh dua jam kamu berdua dekat dapur tak kan hidang Abah dengan Mama ni pinggan dengan cawan je!” Encik Ahmad yang sudah bersedia di meja makan bertanya.

“Tadi bukan main ktung ktang macam orang bersilat. Mana sarapannya?” Puan Sofia turut memandang anak-anaknya.

“Relaks. Kena lah surprise. Mana boleh tunjuk kat sini. Dib!” Aimy menghantar isyarat kepada Airis yang duduk berdekatan dengan cabinet dapur.

“Here, Chef Aimy and Adib present to you  bihun goreng pedas terangkat and cucur bilis.” Airis membuat pengumuman sambil tangannya membawa kedua-dua menu ala waiter di hotel.

“Ohh bukan main lagi surprisenya. Cepat Abah lapar ni. Dari tadi  perut Abah nyanyi lagu keroncong untuk Ana.” Encik Ahmad bergurau sambil bertepuk tangan mengalukan hidangan yang dibawa Airis.

“Amboi ini nak buat kenduri ke apa? Bihun goreng siap dengan cucur bilis lagi.” Puan Sofia mengusik melihat sarapan yang disediakan anak-anaknya.

“Ala Ma, sekali sekala. Tak kan Mama on diet kot?” Airis sengaja mengusik diikuti tawa Encik Ahmad.
“Bukan diet, tapi kita berempat je.” Puan Sofia menjelaskan sambil menampar bahu suaminya yang galak ketawa.

“Yelah Puan Sofia. Eh Aimy, Adib jom duduk makan sekali. Lepas tu Abah komen.”

“Baik Masterchef!” Aimy dan Airis langsung mengambil tempat duduk masing-masing.

Masing-masing mendiamkan diri menikmati sarapan. Sekejap Aimy bangun menuang air masak ke dalam gelas untuk mereka semua. Nescafe yang sudah dituang ke dalam cawan langsung tak berusik. Puan Sofia dan Encik Ahmad dari tadi mencicit menahan pedas.

“Aimy, kenapa pedas sangat bihun kamu ni? Tertumpah cili ke apa masa masak tadi?” Puan Sofia sudah mengeluarkan komennya.

“Entah Aimy, pedasnya aduhai. Boleh ulang-alik dua tiga kali Abah ke toilet nanti.” Giliran Encik Ahmad pula memberi komen.

“Ish, kau laa ni Dib! Kata pedas baru sedaplah! Melayulah! Kau nak sabotaj aku eh?” Aimy memarahi Airis yang masih tekun menyuap bihun goreng ke dalam mulutnya.

“Sabotaj apanya? Aku rasa okey je. Mama dengan Abah yang tak tahan pedas.” Airis membela diri. Dia memang gemar masakan yang pedas.

“Dah dah. Nak bergaduh pulak. Adib hulur dekat Abah cucur bilis kamu tu.” Encik Ahmad sudah menyuakan tangannya meminta Airis menghulurkan pinggan berisi cucur bilis.

“Abah kalau sedap cakap, tak sedap diam je okay?” Sempat Airis berpesan sebelum pinggan bertukar tangan.

“Hmm” Pendek Encik Ahmad membalas.

Encik Ahmad mencapai sebiji cucur bilis lalu dimasukkan kedalam mulutnya. Mukanya yang tadi biasa berubah riak. Laju matanya memandang ke arah Airis. Airis sudah menundukkan wajahnya. Tak berani mendengar komen dari Abahnya.

“Adib, kamu nak kawin ke?” Encik Ahmad bertanya tiba-tiba.

“Kenapa Abah?” Amboi dasyat cucur bilis aku, Abah siap boleh tahu aku nak kawin.

“Masinnya Adibbbb. Selalu orang nak naik pelamin je masak semua jadi masin.” Kata-kata  Encik Ahmad disambut gelak tawa Puan Sofia dan Aimy.

“Abah!” Airis sudah menarik muncung sedepa. Merajuk.

“Mama tak boleh makan laa kalau masin. Kang tak pasal je dapat high blood pressure.” Puan Sofia meletakkan kembali cucur bilis yang baru sahaja ingin dijamahnya.

“Kamu berdua tu malas masuk dapur. Next time rajinkan diri tu masuk dapur. Baru masak sedap lepas tu boleh kawin.” Kata Encik Ahmad sambil memandang anak-anaknya yang muka mengalahkan jeruk.

Aimy dan Airis hanya mampu menganggukkan kepala masing-masing. Akur dengan bakat mereka yang langsung tiada dalam bab memasak. Mana tak mereka sibuk di university, kalau cuti memang tak lekat di rumah. Seratus peratus diserahkan kepada Mama mereka untuk memasak.

“Tapi Aimy okey lagi kan Abah, pandai jugak goreng telur dengan masak nasi. Kek batik Aimy buat pun sedap.” Aimy memancing pujian dari Abahnya.

“Itu memang tak boleh disangkal. Nak dibandingkan dekat Adib ya Allah. Masuk gaung skill memasak tu.” Encik Ahmad mengiakan kata-kata Aimy.

Airis memandang mamanya memohon simpati. Puan Sofia berpura tidak Nampak. Memang apa yang dikatakan Aimy dan suaminya ada kebenarannya.

“Assalamualaikum.” Entah suara lelaki mana memberi salam berselang bunyi loceng.

“Siapa datang pulak tu? Raju dah lama hantar surat khabar. Cuba kamu tengok Aimy.” Encik Ahmad menyuruh Aimy yang paling hampir dengan tingkap dapur melihat.

Aimy menolak kerusinya kebelakang sedikit. Memberi ruang untuk dia keluar menuju ke tingkap. Kepalanya dijengulkan sedikit melihat ke arah pintu pagar. Kelihatan seorang lelaki berdiri di depan pintu pagar tapi wajahnya tidak begitu kelihatan. Aimy menjengketkan kakinya sedikit untuk melihat lebih dekat. Qaiser? Gulp! Dia menelan liurnya. Dia memandang wajah Abah, Mama dan adiknya.

“Siapa Aimy?” Puan Sofia bertanya.

“Qaiser.” Airis langsung memalingkan wajahnya ke arah kakaknya. Terkejut.

“Qaiser?” Encik Ahmad dan Puan Sofia saling memandang satu sama lain.




No comments: