6 oleh: faizah fyn
“Arghhhhhhh” Tiba-tiba
Hannan menjerit.
Sungguh dia terkejut
melihat lelaki yang bukan mahramnya berpakaian begitu. Eshan turut tersentak
mendengar jeritan Hannan. Sejak bila Hannan ada dekat sini? Pantas Eshan
membuka pintu peti sejuk yang berada berdekatan dengannya. Dia menyorokkan
badannya disebalik pintu peti sejuk tersebut. Nek Pah dan Puan Munirah hanya
ketawa melihat reaksi kedua-duanya.
“Ibu! Kenapa ibu tak cakap Han ada dekat sini? Malu
Es.”
“Ibu dah kejut awak masa ibu nak ambik Han tadi.
Awak yang tidur macam ular sawa kekenyangan.”
“Orang penat laa bu. Semalam siapkan assignment mana
nak sedar.” Eshan memberi alasan.
“Dah pergi mandi. Ada ke patut guna pintu peti sejuk
tu tutup badan dia. Naik bil eletrik.”
Eshan membuat muka blur. Patut laa aku rasa sejuk
dari tadi. Tak perasan aku menyorok belakang pintu peti sejuk ni. Tapi macam
mana aku nak pergi naik atas? Hannan ada dekat sini. Eshan mula memikirkan idea
terbaik untuk mengelak daripada Hannan melihat tubuhnya.
“Tunggu apa lagi tu Es? Habis ikan dalam peti sejuk
tu pengsan bau badan kamu.Pergi mandi!” Arah Nek Pah yang sejak tadi diam.
Amboi Nek Pah ni dah pandai buat lawak antarabangsa
dah sekarang. Sejak bila pulak ikan dalam ni hidup? Semua beku je aku tengok.
Mana ada ikan ni ada deria bau kalau dah macam ni punya beku. Eshan berkata
didalam hati.
“Han kau pusing belakang. Putera Gunung Krakatau nak
naik ke bilik sebentar.” Sempat Eshan mengusik Hannan.
Dari zaman sekolah lagi Hannan suka berangan nak
kahwin dengan putera raja. Tak matang langsung! Dia pernah cakap pada Hannan
yang dia hanya layak kahwin dengan Putera Gunung Krakatau itu pun kalau wujud.
“Diam!” Marah Hannan.
“Cepatlah Han. Sejuk ni. Kau nak ke aku jadi Jake
dalam Titanic tu?”
“Takde mati bekunya kalau takat peti sejuk tu.”
“Han kau kena faham konsep yang aku manusia tidak
tahan akan kesejukan.”
“Kalau aku tak nak pusing? Kau nak buat apa?”
“Kau nak tengok badan aku Han? Kejap aku nak tutup
pintu ni.”
Eshan sudah membuat gaya hendak menutup pintu peti
sejuk tersebut. Pantas Hannan mengangkat tangan tanda jangan. Gila! Palpitation
dia tadi bila tengok Eshan macam tu. Tak sanggup dia nak tengok lagi sekali.
“Cepatlah Han sayangggggggggggggg” Eshan sudah
memanjangkan harakat sayangnya.
Sengal punya Eshan. Bantai panggil aku sayang depan
ibu dengan nenek dia. Ini setahun tak habis malu.
Hannan sempat menunjukkan penumbuknya sebelum
berpaling ke belakang. Eshan ni suka buat aku jatuh sayang dekat dia. Alahai
lah hati.
“Panggil sayang terus ikut arahan ye Han?” Sempat
Puan Munirah mengusik.
Hannan dapat merasakan mukanya kepanasan akibat
menahan malu. Nasib dia menghadap ke belakang. Kalau tak habis semua nampak
mukanya saat itu.
Eshan ketawa sebelum cepat-cepat menutup pintu peti
sejuk. Pantas dia menuju ke tangga. Sampai di anak tangga ketiga dia menjerit.
“Han! Kau dah nampak badan aku tadi so kau kena
kawin dengan aku.”
Pantas Hannan berpusing apabila mendengar jeritan
Eshan. Kurang pengajaran! Siap kau Eshan. Dia dapat menangkap ketawa Eshan.
Bukan main suka lagi dapat kenakan aku. Tengok lah aku balas nanti.
****
Azan Maghrib mengejutkan Eshan dari tidurnya. Entah
bila dia tertidur pun dia tidak sedar. Laptopnya masih lagi terpasang. Gambar
Hannan yang tadi dilihatnya juga masih terpampang di skrin laptop. Pantas dia
bangun dari perbaringan dan menuju ke bilik mandi. Asarnya dah terlepas tak kan
Maghrib pun dia nak lewatkan waktu juga.
Selesai mandi dia turun ke tingkat bawah. Bunyi
periuk berlaga di dapur menandakan yang ada orang sedang memasak. Ibukah?
Hannan ada sekali atau tidak? Berbagai persoalan berada dimindanya.
“Buat apa tercegat dekat situ Es? Dah tak ada kerja
nak buat?” Sergah Puan Munirah.
Tersentak Eshan apabila disergah ibunya. Ibu seorang
je dekat dapur. Mana Hannan? Tak kan dari tadi tak keluar bilik. Eshan mula
diserang kebimbangan.
“Ibu, tadi Han ada turun makan tak?” Tanya Eshan.
“Tak ada pulak. Balik tadi terus ibu tak nampak dia.
Jujur dengan ibu Es kamu berdua bergaduh ke?” Puan Munirah menyoal anaknya.
“Sikit.” Pendek jawapan Eshan.
“Kamu ni Es! Kalau bergaduh pun jangan lah sampai
Han bermandi hujan macam tu. Jadi apa-apa dekat Han apa ibu nak jawab dekat mak
ayah dia?”
“Es minta maaf bu.”
Puan Munirah menggelengkan kepalanya. Eshan melampau
kali ini. Setakat mengusik Hannan dia tidak kisah tapi kalau sampai tahap
Hannan terpaksa balik sendiri memang dia tak boleh terima. Sudahlah sekarang
macam-macam kes berlaku. Kes bunuh, rogol, culik siap ada yang kena bakar.
Mujur Hannan tidak apa-apa.
“Ibu nak Es pujuk dia sekarang.”
Tanpa jawapan Eshan terus menaiki anak tangga menuju
bilik Hannan. Pintu bilik Hannan masih berkunci. Pantas dia menuju ke arah
perpustakaan ayahnya. Kunci pendua biasanya diletakkan di dalam laci meja dalam
perpustakaan tersebut. Harap ayahnya tidak mengunci perpustakaan tersebut.
Nasibnya baik apabila pintu perpustakaan tersebut
tidak berkunci. Laci meja diperbuat daripada kayu itu dibuka. Pantas segugus
kunci dicapainya. Satu persatu kunci tersebut dicubanya. Kunci yang kelima
barulah pintu bilik Hannan dapat dibuka.
Keadaan bilik yang gelap menyukarkan dia untuk
melihat dengan jelas. Suis lampu ditekannya. Matanya terus menangkap sekujur
tubuh di atas katil yang sedang lena. Eshan menghampiri katil. Pintu bilik
dibiarkan terbuka. Bimbang Hannan tersedar dan menyangka dia ingin melakukan
perkara tidak baik.
Hannan masih memakai baju yang sama semasa mereka
keluar pagi tadi. Malah tudungnya juga tidak ditanggalkan. Eshan rasa bersalah.
Maafkan aku Han.
Dia cuba mengejutkan Hannan. Tangannya tersentuh
dahi Hannan. Panas. Ya Allah! Hannan demam. Mesti gara-gara bermandi hujan
tadi. Patutlah tidur Hannan lena. Tubuh Hannan bergerak sedikit. Mungkin rasa
terganggu kerana dikejutkan.
Hannan membuka matanya sedikit. Badannya rasa lemah
dan berbahang. Tekaknya juga terasa perit. Matanya memandang sekeliling. Eshan!
“Es macam mana kau boleh masuk?” Tanya Hannan lemah.
“Guna kunci pendua. Aku risau kau tak keluar dari
bilik.”
Hannan cuba untuk bangun tapi dia tidak mampu.
Hannan mengerang sedikit. Eshan cuba membantu tapi tangannya ditepis Hannan.
“Han kau demam ni. Biar aku tolong kau.”
“Aku okey. Jangan risau.”
Dia masih cuba untuk bangun. Kepalanya terasa berat
dan pening. Eshan hanya membiarkan Hannan yang masih terkial-kial untuk bangun.
“Kau baring je Han. Jangan degil boleh tak?” Eshan mula
tidak sabar.
“Aku belum mandikan Nek Pah lagi petang ni.”
“Ada hati nak mandikan Nek Pah lagi? Diri sendiri
pun tak sihat.”
“Aku cakap aku okey, aku okey lah! Kenapa tak faham
lagi?” Hannan cuba melawan.
“Hannan Nur Iman tolong jangan degil! Baring jelah
yang nak berjalan juga kenapa?” Suara Eshan sedikit meninggi.
Air mata Hannan menitis. Argh macam mana boleh
nangis ni? Memang dia kalau demam mudah sensitif. Murah sahaja air matanya.
Hannan mengesat air matanya dengan hujung lengan baju.
“Han sorry. Tapi aku tak boleh biar kau buat kerja
dalam keadaan macam ni. Please dengar cakap aku.” Eshan mula berlembut.
Hannan menganggukkan kepalanya sedikit. Malas nak
memanjangkan cerita. Dia kembali berbaring.
“Tunggu sini kejap. Nanti aku datang balik.”
Eshan berlari menuruni tangga menuju ke dapur.
Kabinet dapur dibukanya. Mencari panadol yang biasanya diletakkan disitu.
“Es cari apa? Dah pujuk Han?” Puan Munirah menegur
Eshan yang seperti kelam-kabut mencari sesuatu.
“Panadol ada bu? Han demam.” Eshan masih mencari
tanpa memandang ibunya.
“Demam? Kejap ibu cari.” Cemas suara Puan Munirah.
Puan Munirah berlari anak menuju biliknya. Dia ada
simpan panadol didalam handbagnya. Dua biji panadol dicapainya lalu diberi pada
Eshan.
“Eh Han belum makan lagi kan? Macam mana nak makan
ubat?” Kata Puan Munirah.
“Habis macam mana bu?”
Eshan tidak dapat berfikir apa-apa. Hampir terlupa
yang Hannan belum makan lagi. Ada panadol pun tak berguna juga.
“Ibu masak bubur kejap. Es ambil air suam lap badan
Han dulu boleh?”
“Hah? Lap badan Han?” Eshan sedikit terkejut.
Ibu ni biar betul! Lain lah kalau Hannan tu isteri
dia. Bukan takat lap habis dibawa Hannan pergi mandi sekali.
“Ish takde laa sampai badan. Dahi dengan tangan
cukup laa.” Usul Puan Munirah.
Eshan menganggukkan kepalanya. Terus dia mencapai
besen kecil lalu diisi dengan air suam. Tuala kecil juga dimasukkan kedalam
besen. Perlahan-lahan dia membawa besen berisi air tersebut ke bilik Hannan.
