Showing posts with label Hikayat Mr Muscle Dan Ms Slender. Show all posts
Showing posts with label Hikayat Mr Muscle Dan Ms Slender. Show all posts

Saturday, 22 December 2012

Ep3| Hikayat Mr Muscle & Ms Slender


oleh: fyn

Laju tangannya dilarikan di atas kertas. Idea mencurah-curah ke ladang gandum mengalahkan iklan koko crunch! Sesekali dia melonggarkan pergelangan tangan yang lenguh akibat menulis tanpa henti. Sikit lagi Farah! Sikit lagi! Nasib dalam kelas tadi esei yang diminta Cikgu Rashika sudah separuh dia siapkan. Sekarang dia berusaha menyiapkan point terakhir dan kesimpulan. Tuk! Pen diletakkan. Alhamdulillah siap juga akhirnya.

‘Farah Jannah Binti Ikhwan please I beg you!’

Rayuan Dzul tadi kembali menerjah fikirannya. Nak tolong ke tak? Tapi entah kenapa hatinya yang sudah lama dia bina kubu pertahanan supaya tak dipijak orang runtuh sedikit demi sedikit. Dzul Ikmal. Serius mana pun lelaki itu, sedingin mana lelaki itu terhadap orang sekeliling dan selancang mana pun mulutnya masih terselit sisi baik dalam dirinya. Okay kali ni je Farah kau jadi baik, lepas ni jangan ikut sangat pujuk rayu Jembalang Tanah tu. Dan pen kembali dilarikan tapi di atas test pad bukannya buku esei.

“Ehem. Saudari, Farah?”

Suara macho lelaki mana entah tiba-tiba menegurnya. Skematikus habis guna ‘saudari’. Lelaki mana hidup dalam zaman buku teks Bahasa Melayu ni? Ini kalau dia guna ‘patik’, ‘hamba’ tak pun ‘beta’ memang aku gelak guling-guling. Farah mengangkat wajahnya dari test pad yang sudah hampir penuh dengan tulisan tangannya. Farah Handwriting! Dup! Dap! Dup! Dap! Jantungnya berlari laju. Katakan ini semua tidak benar. Wajah seorang pelajar lelaki menyapa pandangannya.

“Ya saya.”

 Habislah! Aku pun dah berjangkit dengan dia jadi skema. Eh bukan selama ni dia memang skema ke? Buku teks seberat mana pun dia sanggup bawak. Kalau ada 5 subjek perlukan buku teks memang kelima-limanya dia bawak. Waktu rehat? Pusat Sumber adalah tempat untuk dia membeli makanan. Bukan makanan untuk perut tapi makanan untuk otak dan errr ‘hati’?

“Mintak test pad satu boleh?” Lelaki tadi bertanya.

“Oh boleh. Cukup ke satu?”

Sempat matanya melirik pada tanda nama yang sudah dijahit pada poket baju uniform lelaki itu. Khalish Jafni. Keningnya terangkat sedikit. Unik? Ke pelik? Tapi yang nyata nama lelaki yang menggunakan pangkal huruf K dan J itu unik!

“Nak bagi lebih pun boleh.” Khalish senyum senget.

Farah tersentak sedikit. Dia perasan tak aku ushar nama dia? Janganlah dia perasan. Malu beb! Farah senyum sebelum menarik 3 helai test pad untuk diberi pada Khalish.

“Tiga?” Khalish memandang ke arah Farah.

“Tak cukup? Nak lagi saya boleh bagi.” Farah sudah bersedia mahu menarik test pad lagi.

“Eh tak tak. Bukan tak cukup. Macam banyak sangat je. Habis test pad awak nanti.” Khalish menerangkan maksud ‘tiga’ tadi.

“Eh takde habisnya lah. Lagi pun awak nak buat soalan Add Math tu. Mesti nak guna banyak kertas.” Kata Farah sambil menunjukkan buku teks Add Math yang sedia terbuka depan Khalish.

“Ok okay. Thanks a lot! Nanti saya bagi balik. Saya pinjam je.” Khalish senyum sambil menunjukkan test pada ditangannya.

“Eh ambik terus pun takpe.”

“Saya pinjam. Nanti ada alasan saya nak jumpa awak lagi.”

Farah terdiam. Alasan untuk jumpa aku? Aku tak mimpi kan? Serius ke mamat ni cakap dia nak cari alasan untuk jumpa aku? Okay. I need someone to pinch me!

“By the way khusyuk awak tulis karangan tu.”

“Oh. Ni? Nak kena hantar hari ni.” Farah menjawab dengan suara tersekat-sekat.

Terkejut belum habis lagi. Mana tak suara macam tu. Khalish sudah kembali fokus pada soalan Add Mathnya. Farah berusaha mengawal gelojak di dadanya. Fokus Farah! Anggap je mamat ni takde kat depan kau. Oh ya! Kenapa aku tak perasan dia ada depan aku tadi? Mesti dia asyik perhati aku je dari tadi. Eh perasan pulak kau! Setelah reda sedikit perasaannya dia kembali menulis di atas test pad. Sesekali matanya memandang kea rah Khalish yang berada di hadapannya. Nyaris dia bertemu pandang dengan Khalish.

Kringgggggg

Nah! Loceng menandakan berakhirnya waktu rehat sudah tamat. Laju tangan Farah mengemas barang-barangnya. Dia menolak kerusi ke belakang sedikit untuk memudahkan dia keluar. Khalish masih duduk. Mungkin mahu menghabiskan sisa-sia soalan Add Mathnya. Farah melangkah keluar dari perpustakaan.

“Farah.”

Farah berpaling kebelakang. Kelihatan Khalish sedang mengikat tali kasutnya. Lama dia memandang sebelum Khalish bersuara.

“Tunggu kejap.” Khalish berkata dengan mengangkat tangannya tanda isyarat tunggu.

Farah hanya tersenyum. Tak lama dia berdiri menanti Khalish apabila Khalish berjalan laju mendekatinya. Kedengaran suara riuh rendah pelajar lain yang baru habis rehat di kantin. Baru lepas makan, tenaga banyak memang suara riuh sekampung! Mereka beriringan menuju ke arah kelas masing-masing. Kelas Khalish terletak di blok C manakala kelasnya terletak di blok B.

“Khalish, mana awak tahu nama saya Farah?” tanya Farah.

“Tanda nama awak. Dan macam mana awak tahu nama saya Khalish?”

“Sama. Tanda nama awak.”

Mereka berhenti di laluan antara blok B dan C. Selesai mengucapkan selamat tinggal mereka menuju ke arah kelas masing-masing. Yang pastinya, hari ini permulaan persahabatan antara mereka berdua.

“Fuyoh! Farah ada skandal baru! Ehem ‘Abang Teman Tapi Mesra’ tak marah ke?” Zamir yang berada di tangga memerlinya.

“Diamlah! Mind your own business!” Sempat dia menjelirkan lidah kepada Zamir.

“Ingat comel la tu.” Dzul pula bersuara.

Farah buat tak dengar. Malas nak melayan Dzul yang memang kalau dilayan setakat menyakitkan hati. Layan Zamir okay lagi dari layan si Dzul yang diam-diam ubi berisi.




Sunday, 9 September 2012

Ep2| Hikayat Mr Muscle & Ms Slender



oleh: fyn

Kringggggggggggggggg

Nyaring bunyi loceng menandakan waktu rehat membuatkan pelajar lelaki 5 Beta bersorak kegembiraan. Tapi pantas masing-masing menutup mulut apabila Cikgu Rashika mengangkat mukanya dari kertas ujian yang sedang ditanda. Mana taknya pandangan Cikgu Rashika menghantar maksud ‘kerja belum siap jangan rehat’.

Memang kejam bunyinya tapi hanya itu sahaja cara yang dapat diguna pakai untuk pelajar kelas 5 Beta terutama pelajar lelaki. Kalau disuruh siapkan esei tersebut dirumah alamatnya minggu depan belum tentu siap.

“Ish kau laa cakap. Apa pulak aku.” Kedengaran suara Qabil seakan marah kerana diganggu.

Sekali lagi Cikgu Rashika mengangkat wajahnya. Kali ini matanya terus memandang ke arah Qabil. Keningnya diangkat sedikit memohon penjelasan. Qabil berpura-pura tidak nampak.

“Qabil awak tu ketua kelas tak kan awak sendiri buat bising. Kerja dah siap belum?”

Qabil menggelengkan kepalanya. Perut Zamir disikunya. Gara-gara Zamir dia yang jadi mangsa keadaan.

“Hah awak pulak Zamir apa masalahnya asyik kacau Qabil?”

“Errr cikgu..esei ni hantar before balik boleh cikgu? Lapar lah.” Zamir memberanikan diri.

“Makan je tau! Ramai lagi ke belum siap?” Cikgu Rashika mula mengendurkan suaranya.

“Ramaiiiiiiiiiiiii” Kuat suara pelajar lelaki menjawab.

“Okey make sure before balik 20 buah buku ada atas meja saya. Kurang satu semua akan saya denda.”  Kata-kata Cikgu Rashika disambut dengan sorakan ‘Hidup Cikgu’ oleh pelajar lelaki.

“Dah semua boleh keluar rehat.”

Pantas Cikgu Rashika mengemas barang-barangnya. Pelajar 5 Beta turut membuat perkara yang sama kecuali beberapa orang pelajar ‘top’ yang masih tekun menulis. Usai Cikgu Rashika keluar dari kelas dan hilang dari pandangan bunyi kerusi memenuhi kelas 5 Beta.

“Dzul belanja aku nasi lemak!” Terdengar suara Zamir yang sememangnya kaki bodek.

“Ah kau! Duit banyak nak aku jugak belanja. Takde takde! Aku belanja Panjang je.” Dzul memberi kata putus.

Pelajar lelaki beriringan menuju ke pintu kelas. Dzul menghentikan langkahnya apabila tiba di meja Farah.

“PARAH kalau rajin buat aku punya sekali. Nanti aku belanja kau keropok lekor.” Selamba badak Dzul memberi pelawaan tak masuk akal.

“Maaf tak berminat.”

Dzul membuat muka kereknya. Zamir dan Panjang hanya ketawa mendengar jawapan keras dari Farah. Memang dunia nak terbalik laa kalau Farah bermurah hati nak tolong.

“Mok, kau tak rehat ke?” Muiz tiba-tiba muncul di saat Perjanjian Kata Sepakat oleh Dzul and the gang dengan Farah tercapai.

“Wow ‘Skandal Teman Tapi Mesra’ dia datang laa.” Mulut Zamir yang sengaja mencari pasal untuk dicilikan bersuara.

“Apa masalah kau doe?” Muiz seakan tak berpuas hati.

“Lepak laa. Takkan sentap kot.” Dzul cuba membela Zamir.

“Dah dah. Serabut otak aku. Aku tak rehat. Jangan risau aku pergi library takde maknanya nak duduk dalam kelas. Nanti Abang Exco marah.” Farah mula bersuara apabila sudah rimas melihat babak budak tak matang dihadapannya.

“Ermm tolong, boleh?” Muiz mengangkat buku esei yang berada ditangannya.

Zamir menyiku Dzul dan Panjang yang berada dikiri dan kanannya. Ini kalau Farah sanggup nak tolong Muiz memang ada di antara mereka yang akan terjun bangunan sekolah. Dan esok confirm sekolah mereka masuk muka depan surat khabar.

“Buku add math? Farah menghulurkan tangannya kepada Muiz.” Dia lupa masih ada Tiga Jembalang Tanah disitu.

Pantas Muiz mengeluarkan buku add mathnya yang disorok dibelakangnya. Dia menghulurkan kepada Farah. Farah tersenyum senang.

“Ok deal. Nanti aku tulis atas test pad dulu okey? Takut tulisan lain dengan tulisan kau.” Farah memutuskan.

“Okey! Eh aku pergi bertugas dulu. Hari ni aku duty dengan Dian.” Muiz melambaikan tangannya dan sempat membuat isyarat ‘merong’ kepada Tiga Jembalang Tanah yang masih setia disitu.

Ayat terakhir Muiz membuatkan senyuman dibibir Farah mati. Terus muncul awan mendung berarak petang terlukis diwajahnya. Farah memandang ke arah Tiga Jembalang Tanah yang sudah jatuh rahang. Tak percaya dengan apa yang dilihat. Memang Farah tak adil!

“Korang ni tak nak rehat ke? Dah aku nak pergi library.” Farah mengambil buku dan alat tulisnya sebelum bergegas keluar dari kelas.

Laju Tiga Jembalang Tanah mengekorinya. Cuba menyaingi langkah Farah yang diatur laju. Untunglah kaki panjang laju je dia jalan.

“PARAH pleaseee kali ni je.” Dzul masih merayu.

“NO!”

“Farah Jannah Binti Ikhwan please I beg you!” Dzul masih mengharap.

Farah tersenyum. Dia dapat menangkap suara Dzul walaupun mereka sudah jauh ditinggalkan di belakang. Mujur mereka tak dapat meilhat senyuman yang terukir dibibirnya.

Dan Dua Jembalang Tanah cuba memujuk Tuan Jembalang yang sudah putus asa. Tanpa mereka sedari ada sepasang mata yang sedang memerhati babak yang terjadi dari jauh.







Tuesday, 28 August 2012

Ep1| Hikayat Mr Muscle & Ms Slender



oleh: fyn

21 April 2008

“Walau fizikal kita berbeza namun hati kita membisikkan melodi yang sama.”

Dari tadi matanya melekap pada wajah seorang pelajar lelaki yang duduk di hujung penjuru kelas 5 Alpha. Kelasnya bertentangan dengan kelas tersebut dan kebetulan tempat duduknya betul-betul di tepi tingkap jadi dia boleh melihat dengan jelas kerenah pelajar kelas 5 Alpha.

Hmm budak baru ke? Selama ni tak nampak pun dalam kelas tu. Ke memang aku yang tak ambik peduli kewujudan budak lelaki tu? Tapi kan….handsome gila nak mati budak tu! Zap! Macam terkena renjatan eletrik bila pandangan matanya bersatu dengan pandangan pelajar lelaki yang dari tadi ditiliknya. Terus dia menghulurkan senyuman malu-malu kambing. Aduh! Kantoi ushar anak teruna orang. Eh confident je aku, dia tengok dekat aku. Hatinya berbisik sendiri.

“Farah, nak tengok buku latihan sejarah kau.” Suara Zamir hampir membuatkan jantungnya gugur bergolek ke lantai.

“Kuss semangat. Kau ni tak reti bagi salam ke hah? Kau memang nak tengok aku cepat jalan kan?” Terus Farah memarahi Zamir yang hanya tersengih macam kerang busuk.

“Lek ar Farah. Kau yang dari tadi berangan sampai tak sedar aku depan kau.”

“Yelah. Eh kau nak buat apa dengan buku latihan aku ni?” Farah kembali bertanya setelah degupan jantungnya sedikit reda.

“Aku nak check jawapan kau betul ke tak.” Dengan selamba badak Zamir menjawab.

Matanya mencerlung memandang tepat ke arah Zamir. Ceh! Macam aku tak tahu taktik dia tu. Kali ni aku takkan tertipu lagi! Lantas dia mengeluarkan buku teks Sejarah dari dalam beg sekolahnya.

“Saudara Zamir Asyraf, ingat aku akan tertipu ke dengan taktik kau tu? Dah pergi buat sendiri. Semua jawapan ada dalam buku teks ni!” Farah menghulurkan buku teks Sejarah yang dikeluarkan dari begnya tadi.

“Hmm takpe lah saudari Farah. Kalau macam tu akan patik laporkan pada budak baru 5 Alpha tu yang saudari Farah dok tenung dia tak kelip-kelip mata.” Zamir tersenyum sinis sambil berpura-pura mahu kembali ke tempat duduknya.

“Eh cop! Cop! Cop! Eeee kau ni kan! Nah ambik buku ni! Suka kan ugut aku!” Farah akhirnya mengalah.

“Haaa tau takut! Ehem untuk membalas jasa baik kau, aku tolong kirim salam dekat dia eh.”

“Eh jangan nak mengada! Aku tembak kau nanti.” Farah dapat merasakan mukanya merah menahan malu.

“Alaa malu-malu kucing pulak Cik Farah kita.” Zamir masih belum mahu berhenti mengusik.

Farah sudah mengetap bibir menahan marah dan malu yang bercampur aduk. Marah kerana Zamir mengusiknya dan malu kerana rahsia hatinya diketahui Zamir yang mulut kepoh kalah Mami Jarum.

“Acap! Kau pinjam buku Farah ke, kau jual minyak? Cepatlah nanti cikgu masuk.” Dzul menjerit kepada Zamir yang dari tadi mengusik Farah.

“Ye. Ye. Kejap.” Zamir mengambil buku latihan Farah di atas meja.

Baru beberapa langkah terdengar suara Farah memanggilnya.

“Ye jangan risau. Aku tak bagi tau sesiapa lah.” Zamir mengangkat jari kelingkingnya tanda berjanji.

Farah menarik nafas lega. Bimbang juga jika ada rakan sekelasnya yang lain tahu dia dari tadi memandang ke arah budak baru kelas 5 Alpha.

“Mok, Acap usik kau lagi eh?” Muiz yang entah dari mana muncul menegur Farah.

“Eh bila kau masuk kelas? Bukan Exco Prefect ada meeting ke tadi? Ooo kau ngelat eh?”

“Aku tanya kau, kau tanya aku balik. Haih baru habis tadi. Asal? Dah muak tengok muka aku?” Muiz bertanya seolah-olah berjauh hati.

“Eh takde laa sampai macam tu. Kau tanya aku apa tadi?” Farah bertanya sekadar mengambil hati kawan baiknya.

“Takkk aku tanya Acap usik kau lagi ke?”

“Oh. Aah macam kau tak tahu dia tu. Tension aku. Kalau dia tu adik aku dah lama aku cepuk je kepala dia tu.” Farah mengomel kepada Muiz.

Mana dia tak tension. Zamir yang tak padan dengan kentot boleh buli dia yang sikit punya tinggi macam model Runaway. Sempat Farah memuji dirinya sendiri.

“Kau ni..Harap je tinggi tapi kena buli.”

“Muizzzzzzzzzzz.” Farah sudah mengangkat tangannya mahu menampar lengan Muiz.

“Woo lek ar. Dengan aku bukan main lagi garang. Dengan Acap tu boleh pulak kau ikut je cakap dia.” Muiz sudah bangun menjauhkan sedikit dirinya dari Farah.

Farah ni memang bahaya. Tak penampar dia macam penampar jantan mesti dia keluarkan sepit ketamnya tu. Perghh mau tak lebam tangannya tu.

“Mana ada aku garang dengan kau.” Farah sudah mula menarik muncung.

“Yelah Mok. Kau tak garang tapi manja je kan dengan aku.” Muiz sudah menahan ketawa melihat reaksi Farah.

“Eeee mana ada manjalah!” Farah mengangkat tangannya lagi sekali.

Muiz hanya tersengih. Dia sudah kembali ke tempat duduknya membiarkan Farah yang masih muncung akibat usikannya tadi. Sengihannya mati apabila matanya bertemu dengan mata Zamir yang sejak tadi tekun meniru latihan sejarah Farah. Zamir pantas melarikan pandangannya ke arah latihan sejarah.

Mungkin telahannya benar.