Friday, 13 July 2012

9| Ungkapan Pertama



9 oleh: faizah fyn



Eshan memarkir kereta milik ibunya di ruang garaj. Enjin sudah dimatikan tapi dia masih duduk di dalam kereta. Kata-kata Hannan tadi masih mengganggu fikirannya.

- Pergi matilah cinta kau cakap tadi tu! Dah dasar spesis macam tu memang tak boleh buat apa kan?

Eshan ketawa kosong memikirkan kembali kata-kata Hannan. Spesis? Hina sangat ke aku ni Han? Teruk sangat ke aku untuk menjadi gandingan kau? Eshan meraup wajahnya. Tapi di satu sudut dia yakin Hannan akan menerima dirinya. Cuma cepat atau lambat sahaja.

Pintu keretanya ditutup perlahan. Bimbang ibu atau ayahnya terjaga. Kalau ibunya boleh lagi di buat penyimpan rahsia tapi kalau ayahnya mahu kena ceramah pagi hari. Matanya sempat melihat ke arah bilik Hannan.

Lampu masih menyala? Peliknya. Tak mungkin Hannan tidur lewat sedangkan dia keluar tadi Hannan masih separuh jaga. Laju kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.

“Baru balik Es? Awak pergi mana?” En Malik menegur anaknya.

“Ayah? Kenapa ayah tak tidur lagi?”

Eshan menelan air liurnya. Matilah dia kali ini. Tak sangka ayahnya menunggu dia balik. Sudah lah makan malam tadi dia tidak balik. Mana taknya kepalanya yang sedang serabut menyebabkan dia hampir membuat kerja gila. Tanpa sedar dia memandu ke arah Nilai menuju rumah kakak saudaranya sebelum berpatah balik.

“Han demam, tinggi sangat suhunya. Abang pun ada dekat atas tengah tengok keadaan Han. Pergilah naik.”

“Hafiy ada?” Tanpa sedar Eshan menggunakan nama Hafiy dihadapan ayahnya.

Terus dia menuju ke tingkat atas bimbang ayahnya bertanya lebih lanjut. Dia mula diserang rasa bersalah keluar melulu dari rumah sedangkan Hannan sedang sakit gara-gara dia.

“Kita belum habis lagi Eshan. Esok pagi ayah nak cakap.” Sempat En Malik menjerit kepada anaknya.

Belum habis? Confirm ayah nak korek semua rahsia kenapa dia hilang seminggu yang lepas. Kenapa dia tak balik makan malam hari ni.

Eshan menjengukkan kepalanya sedikit ke dalam bilik Hannan. Jelas dia dapat melihat Hannan sedang berbaring di atas katil. Dr Hafiy duduk di atas sofa di sebelah katil Hannan. Eshan baru sedar sesuatu. Berdua? Ibu dengan ayah boleh biarkan mereka duduk berdua dalam bilik ni?

“Es? Kenapa duduk dekat situ? Masuk lah.” Dr Hafiy yang perasan akan kehadiran Eshan menyuruhnya masuk.

Lambat-lambat Eshan masuk ke dalam bilik tersebut. Dia berpura-pura tidak nampak pandangan mata Hannan. Pandangan bertanya ke mana dia pergi. Masing-masing membisu. Dr Hafiy dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Selalunya ada sahaja yang dia dan Eshan bualkan malah tidak sah kalau Hannan dengan Eshan tak bergaduh dihadapannya. Mereka berdua pantang bersua ada sahaja yang menjadi bahan untuk bergaduh.

“Berapa suhunya?”  Eshan memecahkan kesunyian.

38.7 degree celcius tapi dah kurang sikit 38.3, esok okey lah kot.”

Suasana kembali sunyi. Sesekali Dr Hafiy membelek kamus medicalnya sebelum menutup kembali. Eshan berpura-pura membetulkan sedikit hujung cadar katil. Hannan mengeluh perlahan.

“Hafiy, saya nak cakap dengan Eshan kejap. Awak tunggu dekat luar dulu boleh?” Pinta Hannan.

Dr Hafiy memandang ke arah Hannan dan Eshan bersilih ganti. Jangkaannya tepat yang ada sesuatu terjadi antara Hannan dan Eshan. Dr Hafiy mengangguk sebelum keluar dari bilik meninggalkan Eshan dan Hannan. Setelah yakin Dr Hafiy tidak mendengar, Hannan bersuara.

“Es tolong jangan macam ni.”

“Macam mana Han? Aku okey je. Yang tak okey kau bukan aku kan?”

“Yang kau macam nak cari pasal dengan aku ni kenapa?” Hannan mula naik angin.

“Kau yang mulakan dulu. Macam mana apanya maksud kau? Kau cakap Han!” Keras suara Eshan.

“Kau tanya aku macam mana? Kau dah macam nak bermusuh dengan Hafiy lepas tu kau buat hal sendiri tanpa fikirkan orang yang sayang kau. Itu okey kau cakap?”

“Bukan bermusuh Han tapi aku tak boleh terima dia sebagai ‘Abang’ sejak aku mula suka kau. Itu okey dan normal bagi lelaki Han.”

“Kau lelakilah sangat.” Hannan ketawa sinis.

“Astaghfirullahhalazim Han. Sampai hati kau Han.” Eshan mengetap bibir menahan marah.

“Kau tak perlu cemburu atau apa. Hafiy datang dalam hidup aku sebelum kau berubah. Itu kenyataan Es. Aku minta kau terima Hafiy.”

“Terima Hafiy?”

“Terima Hafiy sebagai orang yang kau panggil Abang. Paling penting Hafiy yang menjadi orang yang kawan baik kau sayang.” Penuh yakin Hannan membalas.

“Aku faham sekarang Han. Ini Hannan Nur yang sebenar. Tak sangka kan aku buang masa untuk kenal kau selama 6 tahun. Aku percaya kata-kata kau yang kita kawan baik yang bukan kenal sehari dua. Aku faham Han. Aku faham sangat.”

Eshan memalingkan wajahnya ke arah lain. Bimbang Hannan melihat matanya yang sudah berair. Sakit melihat Hannan bersama Dr Hafiy tidak sesakit mendengar kata-kata yang keluar dari mulut sahabat baiknya sendiri.

“Lagi satu macam aku cakap tadi jangan buat hal sendiri ikut suka kau. Fikir sikit keadaan ayah kau. Ayah kau ada sakit jantung jangan bagi dia risau atau marah dengan sikap kau macam ni.”

“Kau siapa Han nak nasihat aku?”

“Aku kawan baik kau Es. Dunia akhirat.”

“Huh kawan baik? Aku tak ada kawan macam kau Han.”

“Es! Jangan sebab perasaan kau yang entah betul atau tak kau nak abaikan persahabatan kita!”

“Habis tu kau nak aku buat apa? Teruskan hidup aku sebagai gay yang kau selalu hina tu? Itu kau nak?”

Hannan tersentak. Eshan yang paling tidak suka bila dia bangkitkan isu nalurinya yang luar biasa hari ini membangkitkannya sendiri. Air matanya yang menitis disapu perlahan.

“Es bukan itu maksud aku. Es tolong jangan salah anggap.” Badan Hannan sudah menggigil menahan tangis dan kemarahan yang bercampur aduk.

“Bukan bermaksud konon. Kau perli aku selama ni aku tahan Han. Kau hina aku yang hidup macam ni aku sabar. Kau ingat aku apa Han? Robot yang tak ada perasaan?”

“Es please jangan macam ni. Aku tahu aku sakitkan hati kau. Tapi aku tak mampu nak percaya perasaan kau. Aku tak mampu. Tak mampu.”

“Cukup Han! Aku penat dengan permainan kau. Kau berlakon jadi kawan aku lepas tu kau jadi orang lain yang peril diri sebenar aku. Apa semua tu Han?”

“Es please…”

Tok! Tok! Tok! Ketukan di pintu menamatkan perbualan mereka. Cepat-cepat Hannan mengesat air matanya bimbang diketahui dia menangis.

“Han, Hafiy dah nak balik. Han nak dia naik atas jumpa Han tak?” Puan Munirah bertanya.

“Tak apa lah Aunty dia penat tu. Cakap dekat Hafiy nanti Han call dia.”

“Hmm okey. Eh Han dengan Es nangis ke? Merah je mata tu.”

Hannan dengan Eshan hanya berdiam diri. Tidak tahu apa yang harus dijawab. Bimbang kalau tersalah jawab nanti diketahui mereka berdua bergaduh.

“Han rindu ibu dengan babah.”

“Aunty dah call ibu Han. Esok pagi dia cakap Angah Han datang ambil. Dah jangan nangis okey? Yang lagi seekor ni nangis kenapa? Macam dia je yang sakit.”

“Err..Es sedih tengok kawan Es sakit macam ni. Bak kata orang cubit paha kanan paha kiri yang terasa sakit.” Eshan memberi alasan.

“Yelah tu. Eh ibu turun dulu. Kesian Hafiy tunggu lama dekat bawah.”

Puan Munirah bangun menuju ke arah pintu. Pintu yang sememangnya terbuka sejak tadi dibiarkan tidak bertutup.

“Kau nak pergi mana Es?” Hannan bertanya apabila melihat Eshan turut sama bangun.

“Pergi mati dengan perasaan aku yang entah betul atau tak. Puas?”

Hannan hanya mampu menggelengkan kepalanya. Ya Allah! Bukan niat aku menyakitkan hati dia. Aku terpaksa. Air matanya kembali membasahi pipi.